KUALA LUMPUR: Seramai 308,116 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 8.7 peratus daripada populasi berkenaan di negara ini telah lengkap menerima vaksinasi COVID-19 di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak COVID-19 Kebangsaaan (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, seramai 1,390,105 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 39.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, seramai 2,869,234 individu atau 92.2 peratus telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,971,696 individu atau 95.5 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa pula, seramai 15,965,602 individu atau 67.9 peratus telah menerima dos penggalak manakala 22,960,229 atau 97.6 peratus telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 23,236,925 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 55,755 dos vaksin COVID-19 telah diberikan semalam melibatkan 5,767 dos penggalak, 38,467 dos kedua dan 11,521 dos pertama menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,489,172.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 16 kematian akibat COVID-19 dilaporkan di negara semalam dengan Perak mencatat jumlah tertinggi sebanyak lima kes diikuti Pahang, Pulau Pinang dan Selangor masing-masing dua kes.

Johor, Perlis, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur pula masing-masing merekodkan satu kes.

-- BERNAMA