Lebih 3,000 mangsa banjir di Selangor dipindah ke 30 PPS

Bernama
Disember 18, 2021 06:00 MYT
Sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer, termasuk pasukan PANTAS MBSA, digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir. - Foto Twitter MBSA
SHAH ALAM: Seramai 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ni membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam.
Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis berkata di Klang sebanyak 20 PPS dibuka dengan jumlah membabitkan seramai 2,604 mangsa.
Katanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang.
Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan 482 mangsa.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata pada masa sama, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir.
Katanya kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak PPS sekiranya diperlukan.
Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor.

Amaran terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan lebat akan berterusan di Selangor. Ambil langkah berwaspada. @metmalaysia pic.twitter.com/fOQrwqk6i6

— Amirudin Shari (@AmirudinShari) December 18, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
-- BERNAMA
#banjir selangor #pusat pemindahan #Klang #Norazam Khamis