Sebanyak 31,476 pekerja terlibat dalam pemberhentian kerja bagi tempoh 1 Jan sehingga September lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 17,051 atau 54.2 peratus pekerja terbabit dalam pemberhentian biasa, manakala baki 14,425 lagi atau 45.8 peratus terbabit dalam pemberhentian secara sukarela (VSS).

"Pekerja yang diberhentikan akan dibayar faedah penamatan oleh majikan sekurang-kurangnya mengikut Akta Kerja 1955 atau perjanjian bersama.

"Pemberhentiaan secara VSS adalah tindakan sendiri menawarkan diri dan bersetuju untuk ditamatkan perkhidmatan oleh majikan dengan syarat majikan membayar faedah penamatan atau pampasan yang lebih baik daripada peruntukan undang-undang," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu jumlah pekerja diberhenti atau ditamatkan perkhidmatan susulan cabaran ekonomi dunia.

Ismail berkata pada tahun lepas pula, 44,343 pekerja diberhentikan membabitkan 24,452 atau 55.1 peratus pekerja dalam pemberhentian biasa dan 19,891 atau 44.9 peratus pekerja dalam VSS.

Menjelas lanjut, beliau berkata pemberhentian kerja tidak boleh dielakkan dan berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya ketidakstabilan pasaran ekonomi nasional dan global.

"Selain itu, tiada atau merosotnya permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan, pengoptimuman teknologi komunikasi maklumat, penutupan perniagaan sepenuhnya atau sebahagian, pengecilan tenaga kerja, pengambilalihan syarikat, penstrukturan semula organisasi dan penggabungan syarikat turut menyumbang kepada keadaan itu," katanya. - Bernama