Lebih 4,000 daftar VSP di Negeri Sembilan

Bernama
Jun 25, 2017 00:14 MYT
Aplikasi ini banyak membantu pihak polis menyelesaikan kes-kes jenayah yang dilaporkan oleh orang awam.
Sejumlah 4,270 pengguna telefon pintar telah berdaftar dengan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di Negeri Sembilan, sejak ia dilancarkan di peringkat kontinjen polis pada April lepas.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata jumlah itu sekali gus meletakkan Negeri Sembilan di tangga kedua selepas Sabah, yang mencatat pendaftaran pengguna VSP yang tertinggi di negara ini.
"Walaupun baru dilancarkan, aplikasi ini banyak membantu pihak polis menyelesaikan kes-kes jenayah yang dilaporkan oleh orang awam," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar bersama Warga Kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini malam ini.
Menerusi aplikasi VSP ini, pengguna telefon pintar boleh menyalurkan aduan atau maklumat yang dilengkapi dengan video, gambar dan koordinat GPS lokasi kejadian kepada polis bagi membantu dalam membasmi jenayah.
Terdahulu, Muhamad Zaki menyampaikan sumbangan 'Kotak Rezeki' yang mengandungi kuih raya kepada 50 anggota IPD Seremban yang bertugas semasa malam raya.
Beliau turut berkesempatan berbuka puasa dan seterusnya bertakbir raya bersama 150 anggota dan warga kerja IPD Seremban.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Thiew Hock Poh dan timbalannya, Supt Sulizmie Affendy Sulaiman.
-- BERNAMA
#aplikasi #Muhamad Zaki Harun #Negeri Sembilan #polis #telefon pintar #Volunteer Smartphone Patrol