4,000 murid beroleh manfaat daripada Program Sarapan Percuma

Hilmi Malik
Januari 20, 2020 01:00 MYT
Habibah (duduk) ketika memantau pelaksanaan Program Sarapan Percuma fasa 1 di Sekolah Kebangsaan Sri Suria. -Astro AWANI/Shahir Omar
Sejumlah 4,000 murid dari 100 buah sekolah di seluruh negara mula menikmati sajian pagi pada fasa pertama Program Sarapan Percuma (PSP) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.
Murid-murid disajikan dengan hidangan melalui yang telah ditetapkan KPM sebelum sesi persekolahan bermula pagi ini. Antara sajian yang disediakan ialah nasi goreng, air minuman serta buah-buahan.
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, program ini merupakan usaha menerapkan pengambilan sarapan pagi dan gaya hidup sihat agar murid-murid lebih fokus ketika sesi pembelajaran.
"Kita nak murid-murid tiada rasa lapar jadi bila mereka dah ambil sarapan pagi mereka akan fokus ketika sesi pembelajaran," kata Habibah ketika melakukan tinjauan hari pertama program PSP di Sekolah Kebangsaan Sri Suria, di sini, pada Isnin.
Katanya lagi, program kali ini juga ditambah baik dengan turut merangkumi golongan pelajar miskin.
"Program hari ini kita khusus kepada murid-murid sekolah rendah yang kurang berkemampuan daripada golongan keluarga kategori miskin tegar dan juga miskin," katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bagi sekolah yang tidak mempunyai kantin, program ini akan dikendalikan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, khususnya di kawasan pedalaman.
#Habibah Abdul Rahim #Kementerian Pendidikan #Ketua Pengarah Pelajaran #KPM #miskin tegar #pedalaman #pelajar miskin #Persatuan Ibu Bapa dan Guru #PIBG #program sarapan percuma #PSP #sarapan pagi