Sebanyak 4,968 individu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah di Melaka pada tahun lepas, sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan keenam daripada 14 negeri.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Nazir Mohamad berkata nisbah individu terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah di negeri itu pada tahun sama ialah 534 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Katanya, secara keseluruhan Melaka merekodkan kira-kira 3.49 peratus individu terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah daripada keseluruhan 32.58 juta penduduk di negara ini tahun lepas.

"Statistik ini agak membimbangkan berdasarkan jumlah keseluruhan penduduk Melaka pada tahun lepas iaitu kira-kira 930,000 orang berbanding negeri lain yang mempunyai nisbah lebih rendah bagi setiap 100,000 penduduk seperti di Selangor," katanya kepada pemberita pada Sesi Wawancara Khas Bersama Pengarah AADK Melaka di sini, hari ini.

Menurut beliau, 10 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi mempunyai ramai individu terlibat dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah iaitu Mukim Peringgit, Pernu, Batu Berendam, Krubong, Tanjong Kling, Malim, Durian Tunggal, Masjid Tanah, Kuala Linggi dan Kuala Sungai Baru.

Dalam pada itu, Nazir berkata inisiatif bersepadu akan dilaksanakan secara menyeluruh bersama agensi kerajaan, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan penglibatan individu dalam aktiviti tidak sihat itu.

Katanya, inisiatif bersepadu itu mengambil kira faktor risiko dan pelindung berdasarkan kajian, analisis dan dapatan maklumat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO, Jabatan Kesihatan Negeri dan sekolah.

"Sebagai contoh, kita dapat kenal pasti antara faktor risiko remaja terlibat dalam penyalahgunaan dadah ialah ponteng sekolah, tidak habis sekolah, gagal dalam akademik atau mempunyai masalah keluarga.

"Jadi, kita akan bekerjasama dengan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri untuk membantu remaja terlibat supaya kembali ke sekolah selain mewujudkan kerjasama dengan pihak guru atau NGO dengan memberi kelas tuisyen percuma kepada mereka," katanya.

Tambahnya, hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib seseorang ke arah yang lebih baik dan terhindar daripada terlibat dalam aktiviti sosial yang tidak sihat.

-- BERNAMA