KUALA LUMPUR: Sepanjang tahun 2011 hingga 2020, nahas jalan raya dalam negara telah meragut 47 peratus nyawa golongan belia dan kanak-kanak.

Apa yang menyedihkan, sebilangan besar korban kecelakaan itu dalam golongan berkenaan adalah dalam keadaan tragik, dedah Pengarah Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Lokman Jamaan.

Berdasarkan statistik juga, Lokman berkata, sebanyak 6,167 kematian dicatatkan akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2019.

Bagaimanapun, jumlah kematian mencatatkan penurunan pada tahun 2020 dengan 4,234 kematian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

"Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan pemandu dan penunggang yang melulu, cukup-cukuplah.

"Kemalangan jalan raya ini adalah salah satu perkara yang kami (JPJ) pandang serius. Pendekatan JPJ adalah sangat pragmatik untuk mengurangkan jumlah kemalangan," kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya 2022 anjuran Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) secara maya pada Khamis.

Satu kematian setiap 84 minit

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Bakri Zainal Abidin berkata, statistik menunjukkan satu kematian dicatatkan setiap 84 minit.

Jumlah korban akibat kemalangan jalan raya, kata Bakri, membuatkan negara mengalami kerugian yang besar nilainya.

"Setiap 84 minit, satu orang mati, apakah kesannya? Kesannya bagi satu kematian nilainya mencecah RM3.2 juta akibat kemalangan jalan raya… akhirnya nilainya mencecah RM9.6 billion," kata Bakri.

Beliau dalam masa sama turut menarik perhatian mengenai krisis kesihatan COVID-19 yang telah menurunkan jumlah kemalangan dan kematian.

Kata Bakri, jumlah kematian nahas jalan raya berjaya dikurangkan pada tahun 2020, apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali gus larangan merentas daerah dan negeri.

Namun begitu, keadaan sebaliknya, kembali berlalu apabila jumlah kematian harian kembali mencatatkan peningkatan seperti sebelum pandemik COVID-19.

"Sebelum pandemik, 17 kematian satu hari, pandemik dengan sekatan perjalanan menurun kepada 13 orang satu hari.

"Kita tengok daripada kemalangan maut pada tahun 2019, sebanyak 5,764 kematian (direkodkan). Pada tahun 2020, sebanyak 4,634 jumlahnya menurun 1,538. Adakah kita berbangga dengan penurunan ini?

"Akhirnya hari ini pada tahun 2021 hingga 2022 apabila semua aktiviti beroperasi semula, kematian telah meningkat ke paras 1,500 kemalangan satu hari dan kemalangan maut mencecah 16-17 kes satu hari," jelasnya lagi.

Penunggang motosikal tertinggi kemalangan

Tambah Bakri, penunggang motosikal turut mencatatkan penyumbang tertinggi kemalangan di jalan raya dengan statistik menunjukkan 64 peratus atau 3,959 korban pada 2019.

Sementara pada 2020, statistik Bukti Aman menunjukan kemalangan jalan raya melibatkan kereta adalah sebanyak 19 peratus manakala pejalan kaki (enam peratus) dan kumpulan menggunakan motosikal sebanyak 67 peratus atau 3,118 kematian.

Justeru, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi berkaitan akan terus menjalankan kempen kesedaran jalan raya kepada masyarakat awam agar mematuhi peraturan jalan raya.

"Kalau kita dapat mengurus kumpulan motorsikal, kita boleh turunkan jumlah ini. Ini perkara yang PIAM dan MTA juga perlu bantu menjalankan kempen kepada kumpulan ini," katanya lagi.