Lebih 7,000 penduduk perumahan awam Seri Perak bakal nikmati manfaat Kempen KITA

Sahlizah Mohamed
Februari 20, 2020 08:24 MYT
Lebih 7,000 penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Perak di ibu negara bakal menikmati manfaat daripada Kempen KITA. - Kementerian Wilayah Persekutuan
Lebih 7,000 penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Perak di ibu negara bakal menikmati manfaat daripada Kempen KITA yang memfokuskan kepada pengukuhan semangat komuniti dan tanggungjawab bersama.
Kempen KITA yang bermaksud Komuniti Ini Tanggungjawab Anda menitikberatkan kelestarian, di mana aktiviti yang akan dilaksanakan dapat menerapkan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk.
Ia dianjurkan oleh Sentul Raya Sdn Bhd (SRSB) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), YTL Foundation dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, kerjasama antara DBKL, SRSB dan YTL Foundation bukanlah sesuatu yang baharu.
“Malah sejak tahun 2008, kerjasama ini telah wujud melalui program Bintang Cemerlang yang meperkasakan pendidikan awal yang holistik melalui pendidikan luar bilik darjah.
“Sebanyak 24 buah sekolah telah menyertai pelbagai kem motivasi, bengkel pendidikan dan program sukan.
“Selama tujuh tahun, Bintang Cemerlang telah meninggalkan kesan positif kepada kehidupan pelajar-pelajar di kawasan Sentul,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan YTL Corporations pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen KITA di PA Seri Perak pada Khamis.
Katanya, hampir RM800 ribu telah diperuntukkan oleh Sentul Raya Sdn. Bhd. (SRSB) dan YTL Foundation bagi melaksanakan program selama setahun yang menumpukan kepada pengukuhan semangat komuniti dan tanggungjawab bersama.
Pada masa sama, Khalid turut merasmikan ‘Ruang KITA’ iaitu sebuah dewan serbaguna di PA Seri Perak yang telah diubahsuai dan dinaiktaraf oleh SRSB menjadi hub bagi penduduk Seri Perak, terutamanya bagi kanak-kanak dan golongan belia.
Ruang KITA yang menjadi hos kepada pelbagai aktiviti untuk komuniti Seri Perak, telah dilengkapi dengan perabot dan kelengkapan yang moden serta hiasan yang bakal menyuntik minat dan menarik perhatian orang ramai.
“Satu aspek yang sangat menarik tentang Ruang KITA adalah Toy Library yang disediakan di satu sudut, dengan sokongan YTL Foundation dan Toy Libraries Malaysia.
“Ia menawarkan pelbagai jenis permainan untuk kanak-kanak untuk memberi peluang bermain bersama-sama serta melatih dan mencabar minda mereka. ,” jelasnya.
Dalam pada itu, program Keselamatan dan Pencegahan jenayah adalah dua aspek lain yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Kempen KITA.
Program-program ini bakal dijalankan sepanjang tahun dengan kerjasama SRSB dan Polis Bantuan YTL.
#DBKL #Kempen KITA #Khalid Abd Samad #Kuala Lumpur #Menteri Wilayah Persekutuan #PDRM #perumahan awam #Seri Perak #Toy Library #YTL Corporations