IPOH: Lebih 700 peserta menyertai Program Kayuhan Merdeka 2022, selepas kali terakhir ia dianjurkan di bandar raya ini pada tahun 2018 susulan pandemik COVID-19.

Program yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada setiap tahun itu juga dirangka oleh pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bagi sambutan Hari Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed turut serta dalam kayuhan sempena merdeka itu.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Program kayuhan yang berlangsung di Persiaran Bandaraya, di sini pada Selasa itu bermula pada jam 7.45 malam.

Menurut Rumaizi program itu bertujuan untuk menyatukan rakyat Perak yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dalam satu program bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

Hari Kebangsaan 2022: Kandungan eksklusif Astro AWANI di sini

Katanya lagi, terdapat dua kategori kayuhan iaitu kategori VIP dan Terbuka.

Kategori VIP adalah sejauh 5 kilometer (km) manakala kategori Terbuka sejauh 22.9 km.

"Tema program juga mengambil tema Hari Kebangsaan 2022 iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

"Semoga program ini membantu melahirkan generasi Ipoh yang kekal sihat, aktif dan cergas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tahun 2022 menyaksikan Program Kayuhan Merdeka pertama kali diadakan selepas negara beralih ke fasa endemik.