KOTA TINGGI: Dua nelayan tempatan berjaya diselamatkan setelah lebih sembilan jam terapung di laut akibat bot yang dinaiki oleh mereka karam dipukul ombak di perairan Tanjung Sedili, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa, Abdul Halim, 50, bersama Mohd Nor Rizal, 38, ditemui selamat berpakaian jaket keselamatan lengkap dan berpaut pada pelampung di kedudukan 4 batu nautika timur laut dari posisi bot mereka yang karam.

Katanya pada jam 8.30 pagi pihaknya menerima maklumat bahawa kedua-dua mangsa telah ditemui pada jam 8.15 pagi oleh bot pancing yang turut menyertai misi pencarian mangsa.

"Mengikut laporan awal kejadian, keadaan cuaca yang buruk dan angin kencang telah menyebabkan bot mereka dipukul ombak dan dimasuki air dengan begitu pantas.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima maklumat dari Zon Maritim Tanjung Sedili pada jam 10.45 malam tadi, mengenai aduan sebuah bot nelayan tempatan hampir karam di kedudukan 4.3 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.

"Zon Maritim Tanjung Sedili telah mengaturgerak Bot Kilat 16 bagi menyelamatkan mangsa, namun keadaan cuaca buruk menyebabkan bot ronda terbabit hampir terbalik akibat dipukul ombak dan menghalang operasi carilamat.

"Pihak kami juga turut mendapatkan bantuan daripada komuniti nelayan Tanjung Sedili bagi menyelamat mangsa, namun usaha tersebut turut gagal akibat cuaca laut yang teruk dan jarak penglihatan yang terhad," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nurul Hizam, kedua-dua mangsa seterusnya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk pemeriksaan lanjut.

"Pihak kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi ini.

"Maritim Malaysia ingin menasihatkan kepada komuniti maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan sekiranya berada di laut kerana jaket keselamatan mampu untuk menyelamatkan nyawa sekiranya berada dalam kecemasan di laut,"katanya.