KERTEH: Sehingga hari ini terdapat seramai 909 pelaut tempatan wanita yang sedang berkhidmat dalam industri maritim, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong.

Katanya, meskipun jumlah tersebut hanya mewakil 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 28,414 pelaut tempatan, namun ia tetap merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

"Walaupun jumlah pelaut wanita masih kecil berbanding dengan jumlah pelaut lelaki, namun ia merupakan satu petanda yang baik. Ramai juga dalam kalangan pelaut wanita kita menerajui jawatan penting termasuk kapten kapal, ketua pegawai kapal dan ketua jurutera.

"Mereka ini tidak kurang hebatnya dengan pelaut lelaki berkhidmat di atas kapal dan berlayar merentasi pelbagai negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pelaut Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Datuk Baharin Abdul Hamid dan Pengarah JLM Wilayah Timur Abd Majid Rais.

Henry berkata, kerajaan sentiasa mengambil pelbagai langkah menggalakkan golongan wanita menceburi industri maritim, termasuk melalui penubuhan Pertubuhan Wanita Sektor Maritim Malaysia (MyWIMA).

Katanya MyWIMA yang ditubuhkan pada 2017 di bawah JLM, antara lain berperanan memberi pendedahan kepada golongan wanita mengenai kerjaya sebagai pelaut, dan berkongsi kisah kejayaan serta pengalaman para pelaut wanita kepada masyarakat luar.

"Sekarang ini di Malaysia kita ada MyWIMA yang dianggotai semua wanita yang bekerja dalam industri perkapalan dan industri pelabuhan, melalui pertubuhan tersebut pelbagai langkah dilaksanakan untuk menggalakkan wanita masuk ke dalam bidang ini," katanya.

-- BERNAMA