KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan 94,411 daripada 120,557 anggota pasukan itu bagi penugasan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan pada Isnin berkata, ia susulan pengumuman pembubaran Parlimen ke-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

"PDRM juga akan bekerjasama erat dengan semua agensi, terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pemilihan demokratik di Malaysia berjalan lancar.

"Di masa yang sama juga persediaan telah diaturkan oleh PDRM untuk berganding bahu dengan lain-lain agensi penyelamat bersama-sama menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana alam dalam tempoh berlangsungnya PRU15 kelak," katanya.

Kata beliau lagi, PDRM menyeru kerjasama semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan agar proses pilihan raya umum berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senario politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada menyentuh perkara-perkara sensitif amat diperlukan," tambah beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada Perutusan Khas yang disiarkan dari bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul 3 petang Isnin.

Dalam perutusannya, Ismail berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari Ahad bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.