KUALA LUMPUR: Sebanyak 98,607 kes penipuan dalam talian dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3.3 bilion dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 2017 hingga tahun lepas.

Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Telekomunikasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Supt Rozeni Ismail berkata dalam tempoh sama, lebih 30,000 individu ditahan dan daripada jumlah itu lebih 25,000 individu telah dituduh di mahkamah.

"Kebanyakan mereka yang dituduh ini merupakan pemilik akaun keldai manakala selebihnya (mereka yang tidak dituduh) diletakkan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 antaranya dibuang daerah tertentu dalam satu tempoh masa tertentu," katanya dalam sesi Town Hall Discussion Polis Kuala Lumpur: Scammer Ancaman Sosial Dalam Masyarakat di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan kes itu melibatkan macau scam, belian jualan dalam talian, pinjaman wang tidak wujud dan love scam.

Mengulas lanjut, Rozeni berkata antara punca scammer berjaya memperdaya mangsa adalah mereka beroperasi menggunakan telefon atau media sosial selain merekrut orang ramai untuk menjadi keldai akaun.

"Ini yang menyebabkan sindiket ini berjaya apabila merekrut orang ramai tidak kiralah memberi, menyewa atau membenarkan menggunakan akaun (bank) mereka untuk transaksi kewangan daripada aktiviti jenayah dalam talian ini.

"Jika keldai akaun ini berjaya ditangani, dipercayai sedikit sebanyak pihak polis mampu melumpuh kegiatan jenayah scammer ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim memaklumkan kes penipuan dalam talian seperti macau scam, love scam dan e-belian di ibu negara merekodkan peningkatan walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19.

Beliau berkata sebanyak 4,340 kes dengan kerugian RM665 juta direkodkan pada tahun lepas berbanding 4,062 kes dengan RM637 juta kerugian dicatatkan pada 2020.

"Ini menunjukkan masih terdapat segelintir masyarakat yang terpedaya dengan tawaran, pujukan dan kurang peka jenayah siber sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian jutaan ringgit.

"Ada antara mangsa yang mendakwa mereka tidak pernah mendengar penipuan dalam talian sebegini dan tidak pernah diberikan maklumat berkaitan isu ini," katanya.

Dalam pada itu, lebih 1.6 bilion panggilan dan 1,500 laman sesawang mencurigakan telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

-- BERNAMA