Lebih banyak vaksin, PPV buat Selangor - Khairy

Hilmi Malik
Jun 9, 2021 08:05 MYT
Kerajaan sasar lebih banyak bekalan vaksin dibekalkan di negeri Selangor termasuk pembukaan beberapa PPV mega berikutan populasi di Selangor yang tinggi, kata Khairy Jamaluddin. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bekalan vaksin COVID-19 ke negeri Selangor akan dipertingkatkan dalam masa terdekat selain membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin
Menurut Khairy, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) yang mengakui populasi golongan dewasa di negeri Selangor sangat tinggi berbanding negeri-negeri lain
Beliau berkata, setakat ini penghantaran vaksin di negeri itu adalah sebanyak 17 peratus daripada bekalan di seluruh negara.
“Kapasiti PPV di negeri Selangor tidak mampu menampung penghantaran kapasiti yang lebih besar maka kita buat keputusan untuk pertingkat penghantaran vaksin di Selangor dengan pembukaan lebih banyak PPV,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Rabu.
Khairy berkata, beberapa PPV mega akan dibuka dalam masa terdekat selepas pembukaan beberapa lagi PPV berskala besar antaranya di Pusat Konvensyen Setia Alam, UiTM Puncak Alam.
Beliau dalam masa sama mengambil maklum titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang
menzahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana negeri itu menerima jumlah vaksin yang rendah daripada yang sepatutnya diterima.
Pada Selasa, Sultan Sharafuddin bertitah, keutamaan dalam agihan vaksin seharusnya diberikan kepada negeri ini memandangkan Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Baginda juga terkejut apabila disahkan oleh CITF bahawa sehingga 1 Jun lalu, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin COVID-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.
#Sultan Selangor #Khairy Jamaluddin #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PPV #COVID-19 #bekalan vaksin #Selangor