BENTONG: Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membelanjakan lebih RM4.5 juta bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas, kata Menterinya Idris Ahmad.

Beliau berkata selain barangan makanan dan wang tunai, pihaknya turut menyumbang pelbagai keperluan asas antaranya selimut, pek kebersihan, kelengkapan solat dan barangan elektrik.

Katanya pemberian sumbangan itu telah dimulakan sejak dua minggu lepas melibatkan beberapa agensi agama antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

"Sejurus berlaku banjir, kita bentuk jawatankuasa khas untuk mengelola dan menyelaraskan bantuan, khususnya kepada negeri terjejas teruk seperti Selangor dan Pahang.

"Selepas ini, mungkin kami akan turun ke Terengganu dan Kelantan untuk bantuan dan diharap sumbangan kami yang sedikit ini, dapat meringankan beban ditanggung mereka," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan asas kepada mangsa banjir di surau Kampung Lengkong di sini, hari ini.

Bagi program hari ini, kira-kira RM136,000 diperuntukkan untuk membantu penduduk Karak dan Bentong, yang kehilangan harta benda akibat banjir.

Sementara itu, penduduk Kampung Lengkong, Nabsiah Mat Tah, 62, berkata bantuan yang diterima itu akan digunakan untuk membaiki sistem pendawaian rumahnya yang rosak selepas dilanda banjir pada 19 Dis lepas.

"Untuk baiki elektrik perlu modal agak besar, jadi apabila ada bantuan sebegini dapat ringankan perbelanjaan kami, yang kini tinggal sehelai sepinggang. Banyak lagi kerosakan yang perlu dibaiki dan dibeli baharu terutama barangan elektrik," katanya yang menetap di kampung itu sejak lima tahun lepas.

Bagi Aziz Rizal, 66, pula beliau berbesar hati menerima pelbagai bantuan seperti toto, kelengkapan solat dan wang tunai, yang sememangnya diperlukan selepas rumahnya ditenggelami air hampir paras bumbung.

"Syukur sangat ramai datang bantu dan macam-macam dapat, makanan semua cukup...memang sedih sebab masa banjir barang dalam rumah semua habis," katanya.

-- BERNAMA