Seramai lebih 1.2 juta individu telah membuat pendaftaran aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dengan 503,276 daripadanya memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara setakat 1 Mei.

Justeru katanya, semua pemohon disarankan supaya mengemas kini maklumat lokasi masing-masing bermula 4 dan 5 Mei ini.

"Sehubungan itu mereka yang berhasrat untuk pulang ke kediaman masing-masing hendaklah mengemas kini maklumat lokasi bermula 4 hingga 5 Mei ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengemas kini aplikasi Gerak Malaysia yang sedia ada kepada versi terbaharu iaitu versi 2.0," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Ahad.

Huzir menambah, pihaknya akan memproses permohanan serta maklumat rentas sempadan pemohon pada 6 Mei ini.

Ujar beliau, mana-mana pemohon yang tidak mempunyai kemudahan Gerak Malaysia, mereka boleh membuat permohonan bertulis kepada balai polis berhampiran sebelum tarikh 6 atau 7 Mei.