SHAH ALAM: Legasi perjuangan Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, mesti dipertahankan kerana jasa dan khidmat bakti beliau kepada rakyat negeri itu.

Menerusi video TikTok @Harakah Daily, luahan isteri Allahyarham Nik Aziz, Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak yang menjunjung perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menganugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut menunjukkan kejayaan Allahyarham Nik Aziz yang berjuang dalam menegakkan agama Islam menerusi kehidupan rakyat dan pemerintahan negara.

“Tugas dan peranan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun adalah begitu besar.

“Politik benar-benar memberi kekuatan kepada penegak nilai dan hukum Islam dalam kehidupan terutama di Kelantan Darul Naim,” ujarnya menerusi coretan video dalam akaun media sosial itu pada Rabu.

Allahyarham Nik Aziz mula menceburi bidang politik pada tahun 1967 ketika berusia 36 tahun dan pada tahun 1990 sehingga 2013 beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan sebelum meninggal dunia pada 12 Februari 2015 di usia 84 tahun.

Jasa dan pengorbanan beliau dalam politik dan keilmuan Islam tidak dapat disangkal serta pernah menerima pengiktirafan 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan bekas Menteri Besar yang memiliki rekod bersih di Malaysia.

Dalam pada itu, menurut Tuan Sabariah, Dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pemerintahan di Kelantan telah berjaya menyedarkan umat Islam sekali gus usaha tersebut kekal menjadi nilai kepimpinan.

Tambah beliau, personaliti dan ketekunan Allahyarham Nik Aziz dengan ilmu istiqamah dalam perjuangan adalah kejayaan terbesar memimpin rakyat Kelantan.

“Anugerah ini adalah pengiktirafan kepada Pas dan perjuangannya serta ia legasi yang mesti dipertahankan.

“Perjuangan Pas kekal dengan Islam,” katanya. - Sinar Harian