TUMPAT: Polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun kerana dipercayai merogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun sejak tiga tahun lalu di Wakaf Baru di sini, pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah, terdahulu mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini, tampil membuat laporan polis pada jam 11.09 pagi Ahad.

"Mangsa yang berusia 15 tahun mendakwa didatangi bapanya pada tengah hari 9 Jun lepas.

"Semasa mangsa berada di dalam biliknya, tiba-tiba bapanya  telah memaksa mangsa melakukan hubungan seks," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa memberitahu telah dirogol suspek sejak berusia 12 tahun.

Amran menjelaskan, mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk menjalani pemeriksaan dan didapati terdapat kesan koyakan lama pada selaput daranya.

Mengulas lanjut, Amran berkata suspek yang tidak bekerja mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

Suspek telah direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga  15 Jun bagi membantu siasatan.

"Suspek juga akan ditangkap semula bersangkut kes sumbang mahram selepas reman tamat pada Rabu," katanya.