KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dalam sebuah video tular yang dilihat sengaja membakar mercun di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhadapan Petronas Lotus Ampang, di sini, baru-baru ini telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki warga tempatan berusia 35 itu ditahan pada pukul 10 malam semalam di tepi Jalan Dagang, di sini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bahawa suspek, seorang pemandu lori, telah membakar mercun jenis cake (138) shot atas permintaan pelanggan premis milik kawannya.

"Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau serta negatif ujian saringan dadah telah dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini dan dibenarkan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga Rabu depan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menggunakan apa-apa bahan letupan yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau kerosakan harta atau kecederaan pada orang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata suspek juga disiasat mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana bermain dan membakar mercun dan bunga api.

Beliau berkata polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menggunakan bahan letupan membahayakan nyawa atau kerosakan atau kecederaan.

Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan tindakan suspek yang membakar mercun di atas MRR2 berhadapan Petronas Lotus Ampang yang dirakam orang ramai.

-- BERNAMA