KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera ditoreh dengan sebilah pisau dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Batu Lima Jalan Ipoh di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati mangsa yang berumur 42 tahun telah berselisih faham dengan seorang lelaki tempatan yang dikenalinya kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atas suspek.

"Semasa pertelingkahan di tempat kejadian suspek telah bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan luka sedalam tiga sentimeter (cm) serta perlu menjalani pembedahan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Eng Lai berkata, suspek kemudiannya berjaya diberkas pada hari sama kira-kira jam 11.50 malam.

"Suspek yang diberkas berumur 36 tahun dan mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.- Sinar Harian