AYER KEROH: Seorang lelaki yang didakwa menikam ibu kandungnya dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Amirul Hakim Abu, 38, hanya menunduk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan anak sulung daripada lima beradik didakwa melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian ibu kandungnya Rozizah Md Dom, 64, di kediaman mereka di Batu  9 1/2 Kampung Paya Luboh, Tangga Batu antara jam 2.30 hingga 3 petang, 5 Julai 2022 lalu.

Justeru, tertuduh yang juga penganggur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memberikan dadah jenis methamphetamine kepada diri sendiri mengikut Seksyen  15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Melaka Tengah pada jam 1.35 pagi sehari selepas tragedi berkenaan.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna kelabu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan itu, bagaimanapun tiada hukuman diputuskan sementara menunggu laporan kimia.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira tertuduh berdepan pertuduhan membunuh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mazana pada penghakimannya kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 30 Ogos ini bagi sebutan semula kedua-dua kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat serta serahan dokumen.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang 5 Julai lalu, mangsa Rozizah Md Dom disahkan maut di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.

BACA: Pesara guru wanita maut ditikam anak lelaki

Mangsa yang juga seorang pesara guru dikatakan baharu kehilangan suami bulan lalu.

Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman berkenaan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm).

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah, berkata, suspek mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah berhala.

BACA: Lelaki dakwa tikam ibu selepas terdengar 'bisikan' - Polis

Suspek dikatakan berada dibawah pengaruh dadah selepas ujian saringan air kecing terhadapnya mendapati positif syabu.