MELAKA: Bapa empat anak didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas tuduhan mencederakan isteri hingga parah kerana mangsa menolak ajakan untuk bersetubuh.

Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, 41, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap isterinya dengan cara menghantukkan kepala ke hidung mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 10 pagi di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, pada 12 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menakutkan mangsa sama secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh berang apabila mangsa menolak ajakannya untuk melakukan hubungan seks.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan tidak dibenarkan bagi pertuduhan pertama sebagaimana tertakluk di bawah seksyen, namun jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan RM20,000 kepada tertuduh.

Beliau juga memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap 1 hari bulan di balai polis terdekat, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili Peguam Ishak Mohd Kari memohon jaminan rendah kerana tertuduh yang bekerja sebagai mekanik perlu menyara empat orang anak selain isterinya telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah Syariah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

10 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Sinar Harian