JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak kandungnya, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 45 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa merogol anak perempuan bongsunya yang berusia tiga tahun 11 bulan yang mana perhubungan lelaki itu dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat sehingga 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap kanak-kanak yang sama.

Pendakwaan bagi tuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh dalam bilik air di rumah keluarga itu di Tampoi pada 13 Disember 2022.

Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kedua-dua perbuatan itu adalah kesalahan serius yang tidak boleh dijamin.

"Pada masa sama, tertuduh tinggal sebumbung bersama mangsa yang merupakan anak kandungnya dan wujud kebarangkalian yang sangat tinggi untuk tertuduh mengganggu serta berhubung dengan mangsa," jelasnya.

Mahkamah kemudian bersetuju tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin sebelum menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam.

Difahamkan, tertuduh yang juga seorang penganggur ditahan pada jam 11 pagi, 28 Disember tahun lalu selepas polis menerima laporan daripada isterinya iaitu ibu kanak-kanak berkenaan.

Lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika isterinya yang juga rakyat tempatan keluar bekerja di Singapura dan ketika itu tertuduh hanya tinggal bersama mangsa dan juga dua anak yang lain, manakala dua lagi sedang bersekolah.- Sinar Harian