IPOH: Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu mengeluarkan perintah reman seminggu terhadap seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas.

Suspek yang berumur 40 tahun itu direman sehingga 16 November hadapan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.

Pada Selasa, seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan pisau masih tertusuk di lehernya di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu di sini.

Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Aw Foong Meng, 73, dipercayai ditikam dan dikelar oleh anak saudaranya sendiri di dalam rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa ditemui anggota polis dalam keadaan tertiarap di tepi katil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis juga akan menyemak rekod kesihatan suspek.