IPOH: Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin mengeluarkan perintah reman disambung seminggu lagi terhadap seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas.

Suspek yang berumur 40 tahun itu disambung reman sehingga 23 November hadapan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus selepas mendapat permohonan lanjutan daripada pihak polis.


Pada 10 November lalu, suspek direman seminggu, yang berakhir hari ini, bagi membantu siasatan kes seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan pisau masih tertusuk di lehernya di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu, Ipoh.

Mahkamah | Lelaki disyaki bunuh ibu saudara direman seminggu


Dalam kejadian sekitar jam 3 petang 9 November lalu, mangsa yang berusia 73 tahun dipercayai ditikam dan dikelar oleh anak saudaranya sendiri di dalam rumah mereka.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa ditemui anggota polis dalam keadaan tertiarap di tepi katil.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis juga akan menyemak rekod kesihatan suspek.