GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki yang merupakan penagih dan pengedar tegar dadah sebelum merampas pelbagai jenis dadah yang bernilai RM227,914 dalam dua serbuan di Air Itam dan Jelutong di sini pada Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu kawasan parkir sebuah apartment di Air Itam pada 12.30 tengah hari dan menahan lelaki berusia 52 tahun itu.

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu, polis merampas 100 keping aluminium foil yang mengandungi 1,000 biji pil eramin 5 bernilai RM8,000 di dalam beg silangnya dan dipercayai suspek ketika ditahan mahu menghantar dadah tersebut kepada pembelinya.

"Susulan penahanan lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di Jelutong pada 4 petang dan merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 4,502 gram (g), heroin (982g), ganja (43.3g), ketamin(87.5g), serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA)(1,317g), 850 biji eramin 5, ekstasi(1,400 biji) dan pil kuda (800 biji)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, lelaki itu menjadikan rumahnya di Jelutong sebagai tempat untuk dia menyimpan dan membungkus semula dadah yang dijualnya.

Mohd Shuhaily berkata siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mendapatkan bekalan dadah daripada pelbagai sindiket sebelum membungkusnya semula dan menjual untuk pasaran tempatan.

Katanya lelaki yang mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu boleh dikatakan seperti "kedai serbaneka" menjual dadah kerana dia boleh dikatakan memiliki semua jenis dadah yang dijual di pasaran.

"Lelaki itu dipercayai menjual dadah tersebut di pelbagai lokasi mengikut jenis dadah contohnya seperti pil dan MDMA dijual di pusat hiburan sekitar negeri ini kerana mendapat permintaan tinggi pelanggan di situ.

"Berdasarkan siasatan kami juga mendapati rekod lampau suspek sejak 2014 dan kali terakhir dia dikenakan hukuman pada 2019 di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, lelaki itu memang penagih dan pengedar dadah tegar serta beberapa kali dikenakan hukuman penjara," katanya.

Beliau berkata lelaki itu kini direman selama enam hari hingga 9 April bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya semua dadah itu boleh digunakan 31,060 penagih dan susulan penahanan lelaki itu polis menyita sebuah motosikal serta sebuah kereta yang kedua-duanya bernilai RM37,500 dan wang tunai sebanyak RM2,010.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata polis Pulau Pinang meluluskan 246 permohonan menjual bunga api di negeri itu setakat ini iaitu 61 di daerah Seberang Perai Tengah, 45 di Timur Laut, 28 di Barat Daya, 12 di Seberang Perai Selatan dan 100 di Seberang Perai Utara.

-- BERNAMA