KOTA BHARU: Penahanan seorang lelaki membawa kepada rampasan 7,062 biji pil kuda dalam serbuan di tepi jalan Kampung Gertak Kangkung, Kuala Krai pada Khamis.

Dalam serbuan jam 8 malam itu, polis turut merampas 50 gram syabu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa suspek ditahan di tepi jalan, pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai 1,062 biji pil kuda.

"Susulan itu, pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam rumah sambil dipandu arah oleh suspek telah menemukan 6,000 biji pil kuda dan 50 gram syabu bernilai RM75,620," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, saringan air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methapethamine.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Dalam perkembangan berasingan, Muhamad Zaki berkata, pihaknya terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kiri kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di jalan Meranti-Kubang Bemban, Pasir Mas.

"Bagaimanapun, suspek masih bertindak memecut kenderaan untuk meloloskan diri.

"Kedua-dua suspek berjaya ditangkap di kawasan berhampiran Masjid An-Nawawi, Jalan Slow Machang, Pasir Mas," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek dan kenderaan tidak menjumpai apa-apa barang salah.

Jelas beliau, menyedari kehadiran anggota polis mengekori mereka, pemandu kereta tersebut telah bertindak memecut untuk meloloskan diri sehingga terlanggar seorang penunggang motosikal.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.