RANTAU PANJANG: Seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis pil kuda bernilai RM100,050 di kawasan Kampung Gual Pasung Hantu, di sini, pada Selasa.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Deputi Superintendan Ramesh Krishnan berkata, menerusi Op Wawasan, pada jam 11.30 malam, polis telah membuat rondaan dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

"Polis menghampiri lelaki tersebut, walaupun (lelaki itu) cuba melarikan diri, namun dia berjaya ditangkap.

"Hasil pemeriksaan ke atas lelaki tersebut mendapati satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi pil kemerahan yang dipercayai pil kuda telah dirampas. Rampasan keseluruhan dadah itu berjumlah RM100,050," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, rampasan itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

"Pihak PGA akan terus mempertingkatkan serta mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok sehingga Pengkalan Kubor bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan," katanya lagi.