KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan disyaki pemangsa seks yang menyasarkan kanak-kanak dalam satu serbuan di sekitar Klang pada Selasa.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

"Hasil pemeriksaan di rumah suspek mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer milik lelaki berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati suspek yang berusia 39 tahun turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak di samping memuat turun pornografi kanak-kanak menerusi media sosial," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noorsiah berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah dan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, polis telah merampas beberapa perkakasan di rumah suspek termasuk sebuah komputer, cakera keras luaran, router, dan telefon pintar untuk siasatan lanjut.

"Suspek direman empat hari bermula 14 hingga 17 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Seksual Terhadap Kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan," ujar beliau. -Sinar Harian