KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang remaja lelaki yang disyaki membelasah ibunya kerana tidak mengemaskan rumah mereka di Kampung Lindungan Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata wanita berusia 44 tahun itu cedera di bahagian muka dan badan.

Beliau berkata semasa kejadian suspek yang berusia 19 tahun dikatakan bertindak mengunci pintu hadapan dan membaling barang perhiasan rumah ke arah mangsa.

"Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu turut bertindak menumbuk mangsa di bahagian muka dan memijak dada sebelah kiri.

"Bertindak atas laporan dibuat ibunya pada Isnin lepas, polis menahan remaja itu pada 7.30 malam dan kini direman sehingga Sabtu (5 Nov) ini bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi malam ini.

Mohamad Fakhruddin berkata suspek didapati negatif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek merbahaya.

Beliau turut mengesahkan kejadian berkenaan bukan kali pertama dan pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya.

-- BERNAMA