NIBONG TEBAL: Seorang lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan menyeleweng minyak diesel subsidi ditahan bersama lori dan bahan api membabitkan nilai keseluruhan RM75,817.20 di sebuah stesen minyak di Jalan Hooi Soo, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya berjaya menjejaki sebuah lori tiga tan yang mencurigakan sebelum menyerbu stesen minyak itu pada 1.30 pagi.

"Semasa serbuan itu, seorang lelaki berusia 40-an yang juga pemandu lori sedang mengisi minyak diesel di situ dan pemeriksaan mendapati terdapat satu unit tangki besi tambahan berkapasiti 4,000 liter yang telah diubah suai, ditempatkan di belakang kenderaan tersebut dengan ditutupi kain kanvas.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 2,000 liter minyak diesel di dalam tangki besi tersebut dan dipercayai suspek membeli bahan api tersebut di beberapa lokasi sekitar Nibong Tebal dan Jawi dengan harga susbsidi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan awal, suspek menjalankan aktiviti berkenaan secara sendirian dan akan menjual diesel tersebut kepada pihak industri dengan harga lebih mahal sekali gus mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 2,000 liter diesel, lori, tangki besi, motor pum dan hos pam yang kesemuanya bernilai RM75,817.20," katanya menambah suspek yang juga pemilik lori ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA