JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditahan dalam kes penipuan pembelian jam tangan dan beg berjenama membabitkan kerugian mencecah RM20 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata suspek berusia 32 tahun ditahan di sebuah rumah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada jam 4.45 petang, Ahad lalu.

Ia susulan laporan daripada empat mangsa di daerah Johor Bahru dan Iskandar Puteri antara Ogos hingga bulan ini.

Katanya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menawarkan jam tangan dan beg tangan edisi khas atau terhad jenama mewah kepada mangsa dengan harga jualan yang lebih murah berbanding harga pasaran.

"Mangsa akan berurusan secara bersemuka dengan lelaki itu dan setelah bersetuju dengan harga yang ditawarkan, mangsa kemudiannya akan membuat pembayaran ke akaun bank yang diarahkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman, berkata setelah bayaran dibuat, lelaki berkenaan melarikan diri bersama wang yang telah dibayar oleh mangsa dan dia turut gagal dihubungi.

Katanya, mangsa adalah empat ahli perniagaan berumur antara 31 hingga 40 tahun.

Kamarul Zaman berkata siasatan juga mendapati lelaki tersebut turut terlibat dengan satu kes yang dikendalikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Menurutnya, lelaki itu kini direman mulai hari ini sehingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.