SANDAKAN: Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kenderaan yang terapung di muara sungai, di kawasan Batu Tujuh, di sini, pagi ini.

Mangsa dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu dikenali sebagai Thien Nyuk Kong, 62 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.44 pagi.

Katanya, bomba menerima makluman awal, terdapat sebuah kenderaan timbul di muara sungai.

“Susulan itu, sepasukan tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menaikkan kenderaan ke darat.

“Sebaik kenderaan berjaya dinaikkan, anggota bertugas mendapati, terdapat seorang lelaki di dalam kenderaan tersebut.

“Lelaki berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.