DUNGUN: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kelar di bahagian leher di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 6, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 6.50 petang.

Menurut Baharudin, siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar di bahagian leher dan tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada badan mangsa.

Bagaimanapun identiti mangsa serta motif kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Pihak kami telah membuat siasatan. Didapati si mati seorang lelaki yang masih belum diketahui warganegaranya, berusia lebih kurang 40-an dan kita masih menjalankan siasatan apakah motif pembunuhan ini," kata Baharuddin.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.