SHAH ALAM: Polis memburu tiga lelaki disyaki terlibat dalam satu kes bunuh membabitkan seorang individu di tepi Jalan Bawal Tambak, Taman Sri Gadong, Klang dekat sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata bertindak atas maklumat orang awam pada 12.22 tengah malam tadi, pihaknya telah ke tempat kejadian dan menemukan seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah manakala pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 41 tahun itu mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk kes jenayah berat melibatkan culik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata hasil siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera tertutup di tempat kejadian mendapati mangsa telah didatangi sebuah kereta Nissan Almera yang berhenti di tepi jalan berdekatan sebuah rumah.

"Selepas itu keluar tiga lelaki meluru ke arah mangsa lalu melepaskan lima hingga lapan das tembakan dari jarak dekat menggunakan pistol malah menetaknya menggunakan parang sebelum melarikan diri dengan menggunakan kereta yang sama.

"Unit forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohamed Syahrir Zabidi di talian 012-26650895 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di nombor 03-33762222.

-- BERNAMA