SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan maut di dalam longkang dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Simpang Jalan Bandar Sibuga, Batu 8, Sandakan pada Sabtu.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Nasir Hassan, 30 tahun ditemui orang awam kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.32 pagi.

Menurutnya, sepasukan sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami menemui seorang lelaki di longkang itu dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri.

“Lelaki berkenaan dipercayai terkena renjatan elektrik dan kerja pemotongan bekalan elektrik kemudiannya dilakukan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd. (SESB)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Jimmy, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Hospital Duchess of Kent (HDOK) sebelum disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis.