IPOH: Seorang lelaki warga emas dipercayai gelandangan, maut dipukul di lorong berhampiran kaki lima Jalan Leong Sin Nam di sini awal pagi tadi.

Difahamkan, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan mangsa berusia 68 tahun itu pada kira-kira jam 5.20 pagi tadi.

Mangsa dipercayai dipukul serta ditendang dan polis telah menahan suspek yang juga gelandangan berusia 51 tahun dalam masa yang singkat.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tinjauan Bernama di lokvasi kejadian pagi ini mendapati masih terdapat kesan darah di lorong jalan itu dipercayai milik mangsa.

Seorang wanita yang bekerja di restoran berhampiran yang enggan dikenali memberitahu dia terdengar bunyi bising dan kaca pecah seperti berlaku pergaduhan ketika menyiapkan makanan pada kira-kira jam 5 pagi.

"Saya terus keluar untuk melihat kejadian dan menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan untuk mangsa itu yang biasa dilihat tidur di sekitar kawasan ini," katanya.

-- BERNAMA