SELAMA: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar ke dusun durian pada Isnin lalu, ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya pada jarak 500 meter dari mangsa dipercayai hilang, di sini hari ini.

Mangsa, Kamarudin Hasan, 67, ditemukan dalam keadaan selamat oleh orang awam pada jam 10.50 pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota bomba menggunakan pengusung bagi mengeluarkan mangsa dari kawasan tersebut.

Katanya lagi, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan bagi tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Balai BBP Selama, PPgB Mohd Nor Khairi Johari itu tamat sepenuhnya pada jam 11.45 pagi.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang hilang ketika keluar ke dusun durian pada Isnin lalu, memasuki hari keempat.

Mangsa, Kamarudin Hasan, 67, dikatakan hilang ketika keluar dari rumah untuk menjaga kebun durian berdekatan rumahnya di Kampung Sungai Malau Luar, Kubu Gajah, - Foto JBPM

Mangsa, Kamarudin Hasan, 67, dikatakan hilang ketika keluar dari rumah untuk menjaga kebun durian berdekatan rumahnya di Kampung Sungai Malau Luar, Kubu Gajah di sini.

Jurucakap JBPM Perak berkata, operasi SAR hari ini bermula pada jam 9 pagi dengan pencarian diperluas kepada radius 4 kilometer (KM), merangkumi sektor 6 dan 7.

Operasi itu turut dibantu pihak K9 JBPM, kekuatan pasukan pula membabitkan bomba (15), polis (7), penduduk kampung (7) dan Felcra (3).