TEMERLOH: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh semasa memancing di Sungai Semantan berdekatan Loji Air Semantan, Lanchang, di sini, Selasa lalu, ditemukan lemas hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26 tahun, ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 pada 10.28 pagi ini.

Menurutnya, seramai 55 anggota JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela serta orang awam turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini.

"Kita menemui mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat dibawa keluar dari sungai terbabit untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA: Operasi SAR kesan kakitangan TNB dikhuatiri lemas ketika memancing diperluas 

Foto JBPM Pahang

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa bersama seorang lagi rakan terjatuh ke dalam sungai semasa melakukan aktiviti memancing di lokasi tersebut.

Pasukan bomba menerima maklumat jam 6.22 petang mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka, Yuhanif Abd Mushalleh, 32 tahun, berjaya diselamatkan komander operasi.

Foto JBPM Pahang