LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang disyaki terjatuh ke dalam laut, selepas bot yang dinaiki terlanggar boya di selatan Pulau Lalang, dekat sini, pagi tadi.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa Mohamad Ewandi Husnan, 22, masih belum ditemui selepas terjatuh di kedudukan 0.5 batu nautika pulau berkenaan.

"Bot fiber yang membawa empat lelaki yang berumur antara 18 hingga 53 tahun itu telah terlanggar boya yang ada di situ dan menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke dalam laut.

"Bagaimanapun, tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan pada pukul 10.20 pagi, manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebuah bot Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan operasi mencari dan menyelamat di kawasan itu telah dilakukan, sebelum ditangguhkan pada pukul 7.30 malam ini dan akan disambung semula pukul 7 pagi esok.

"Kesemua mangsa ini dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan, sebelum bot berkenaan melanggar boya. Bot berkenaan yang bergerak tanpa pengemudi telah ditemui tersadai di daratan Pulau Lalang pada pukul 12.20 tengah hari.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa yang ditemui telah mengalami patah hidung, manakala dua lagi hanya cedera ringan dan kesemua mereka dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata komuniti maritim diingatkan supaya tidak turun ke laut dalam keadaan cuaca buruk dan sekiranya perlu, mereka harus mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

-- BERNAMA