LUMUT: Seorang lelaki meninggal dunia terperosok bawah kereta ketika dikatakan cuba menahan sebuah kereta dari mengelongsor ke laut di Teluk Senangin di sini malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu, mangsa dikenali Muhammad Hafiz Ramli, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat lemas.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 11.34 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah kereta jenis Proton Gen2 telah mengelongsor masuk ke dalam laut.

“Pihak bomba dimaklumkan terdapat seorang lelaki terperosok di bawah kereta tersebut, dipercayai cuba menahan kereta dari masuk ke laut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut jurucakap itu lagi, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke pantai sebelum pihak bomba sampai.

Bagaimanapun, katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Kenyataan itu berkata, operasi anggota kemudiannya membuat 'sizeup' di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain wujud.

"Pemeriksaan dalam kereta juga dilakukan selain mencabut kabel bekalan kuasa bateri kenderaan bagi mengurangkan risiko kejadian lain berlaku," ujarnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hanafi Mohd Rashidi tamat jam 1.45 pagi.