GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai, di sini, jam 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa dikenali sebagai Anek Bin Along berusia 59 tahun.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari daripada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dan maklumat itu kemudiannya disahkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Berdasarkan maklumat yang diterima kejadian berlaku ketika mangsa keluar membuang air kecil di belakang rumah manakala anak perempuannya sedang menumbuk padi di belakang rumahnya kira-kira pukul 9.10 pagi.

"Ketika itu anak mangsa mendapati bapanya telah tiada dan setelah dipanggil beberapa kali dan mencari di belakang rumah didapati ada kesan darah pada daun-daun pokok berdekatan sebelum memanggil orang kampung untuk mencari bapanya di kawasan hutan dan telah ternampak seekor harimau berdekatan mayat mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sik berkata penduduk dilaporkan telah membaling lembing ke arah harimau tersebut dan dipercayai terkena di bahagian muka menyebabkan haiwan itu melarikan diri.

Beliau berkata sepasukan anggota daripada Balai Polis Gua Musang telah ke tempat kejadian pada jam 5.40 petang, bagi membawa keluar mayat mangsa dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram (kg) berjaya ditembak mati, selepas cuba menyerang anggotanya yang membuat pencarian di kawasan hutan tempat kejadian pada jam 12.15 tengah hari.

Katanya tindakan itu terpaksa dijalankan berikutan harimau belang berkenaan telah meluru ke arah pasukan tangkapan jabatan itu.

"Tindakan ini juga bersesuaian dengan Seksyen 52, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana hidupan liar berkenaan berbahaya kepada nyawa manusia," katanya.

-- BERNAMA