KANGAR: Perselisihan faham mengenai wang sewa rumah dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut ditetak jirannya dalam kejadian di Kampung Guar Sabun, Kangar, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek dikatakan datang ke rumah mangsa dengan membawa sebilah parang sebelum mengarahkannya menyerahkan wang sewa kepadanya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Wari Kiew, berkata mangsa dipercayai tidak melayan permintaan lelaki itu kerana kebiasaannya sewa rumah dibayar kepada isteri suspek.

"Suspek tiba-tiba berang lalu menetak cermin kereta mangsa yang diparkir di hadapan rumah.

"Melihat suspek mengamuk, mangsa cuba menghampiri suspek dan secara tiba-tiba suspek menetak mangsa.

"Isteri mangsa yang melihat suaminya sedang bergelut dengan suspek bertindak menghubungi isteri suspek. Wanita itu kemudian meminta tolong jiran untuk menangkap suspek," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek berjaya ditangkap oleh jiran dan diikat sebelum ketibaan polis.

Katanya, pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Fauziah Kangar yang tiba kemudian mengesahkan mangsa yang dikenal pasti sebagai Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49,  sudah meninggal dunia.

"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa menemui dua kesan luka di bahagian kepala. Polis telah merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, empat individu berusia 39 hingga 54 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302.