BAGAN SERAI: Seorang pemandu lelaki maut setelah kenderaan yang dinaikinya terbabas masuk ke dalam parit di Jalan Siakap, Taman Serai Jaya, dekat sini petang tadi.

Difahamkan mangsa dikenali sebagai S. Kunaseelan,33, memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.48 petang.

"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kereta terbabas masuk ke dalam parit.

"Mangsa seorang diri dan didapati tiada penumpang ketika kejadian.

"Bagaimanapun mangsa tidak tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan KKM (Kementerian Kesihatan)," ujar kenyataan itu pada Ahad.

Jelasnya lagi, anggota bomba kemudiannya bertindak membawa keluar mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.