ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan lemas selepas motosikal ditungganginya terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Telaga Mas dekat Alor Setar malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam ketika itu mangsa Mohammad Rofiq Mohd Shah Alam, 26, baru pulang dari tempat kerja di Bukit Pinang ke rumahnya di Bukit Tembaga.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa dikatakan cuba mengelak sebuah teksi yang datang dari arah bertentangan lalu terbabas dan terjunam ke dalam sungai.

Katanya, pemandu teksi itu bagaimanapun melarikan diri sebaik ternampak mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Jelas beliau, kejadian disedari penduduk kampung yang melalui jalan itu selepas menemui dua buah topi keledar dan motosikal mangsa di dalam air.

"Sebuah motosikal terbabas di tepi sungai dan mangsa telah pun meninggal dunia di tempat kejadian. Kita menghubungi pihak bomba untuk mencari sekiranya ada mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan ini kerana kita menjumpai dua buah helmet di tempat kejadian.

"Kami mensyaki ada penumpang lain jadi usaha telah dijalankan oleh pihak bomba untuk mencari sekiranya ada mangsa lain yang terlibat dalam kejadian ini.

"Walau bagaimanapun maklumat yang kita terima daripada majikan mangsa yang meninggal dunia ini dan juga daripada abang si mati mengesahkan bahawa mangsa hanya berseorangan," katanya.

Menurut Ahmad Shukri mayat mangsa ditemui pasukan bomba di dasar sungai dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Hasil siasatan mendapati mangsa memiliki kad UNHCR dan telah lama menetap di negara ini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.