KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan kematian seorang lelaki yang mengamuk di sebuah masjid di Pulau Melaka, pada Ahad berpunca daripada pendarahan di bahagian paru-paru.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil bedah siasatan yang dijalankan mendapati pendarahan itu berlaku akibat tekanan pada bahagian dada.

"Pada masa sama, terdapat kesan calar, lebam dan luka di beberapa bahagian tubuh mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Media pada Isnin melaporkan lelaki yang maut dipercayai dipukul di sebuah masjid di Pulau Melaka di sini, sempat menunaikan solat sebelum mengamuk.

Muhamad Zaki berkata, pada jam 6.30 petang lelaki berusia 28 tahun itu telah mengamuk dan berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan masjid yang bertugas.

"Kemudian mangsa telah berjaya ditahan dengan bantuan dari pelajar-pelajar tahfiz sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis," katanya. - Sinar Harian