KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang lelaki yang dirakam menjerit dan menyanyi di hadapan Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pada Khamis mengalami gangguan mental.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 1 minit 47 saat berkenaan yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok bernama Zackroyeo sekitar jam 4.11 petang pada Jumaat.

"Hasil siasatan mendapati individu tersebut berada di Jabatan Kecemasan HKL bersama keluarga untuk mendapatkan rawatan susulan kerana mengalami penyakit bipolar mood disorder.

"Kejadian tersebut berlaku pada Khamis jam lebih kurang 8.30 malam dan kereta peronda (MPV) telah menghala ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan pusat kawalan daerah Dang Wangi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Noor Dellhan berkata, individu tersebut berjaya ditenangkan dan dibawa masuk ke dalam wad untuk menerima rawatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan klip video berkenaan untuk mengelakkan kegusaran awam.


*Berita asal di Sinar Harian