Lelaki Orang Asli maut nahas motosikal-lori di persimpangan lampu isyarat UTP

Abd Razak Mohd Ali
September 8, 2023 02:20 MYT
Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan kepala dan badan akibat kemalangan jalan raya. - Gambar hiasan
PARIT: Seorang lelaki Orang Asli maut selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori, di Kilometer 29, Jalan Ipoh - Lumut, berhampiran lampu isyarat Universiti Teknologi Petronas (UTP) dekat sini, petang semalam.
Mangsa yang berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Ipoh.
“Motosikal mangsa telah membelok ke kanan menghala ke UTP dan berlanggar dengan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki, yang bergerak lurus menuju ke Ipoh.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, polis turut menahan pemandu lori berkenaan untuk membantu siasatan.
Azizi berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Changkat Melintang, Bota, mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan kepala dan badan akibat kemalangan jalan raya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lampu isyarat bagi mengelakkan kemalangan dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
#kemalangan jalan raya #parit #motosikal dilanggar lori #penunggang motosikal maut