SHAH ALAM: Seorang lelaki yang videonya tular mengenakan telekung untuk menyamar sebagai wanita sebelum mencuri barangan jemaah di ruang solat di dua buah masjid di Seksyen 18, Shah Alam ditahan polis pada tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan di kawasan Seksyen 18, di sini selepas polis menerima laporan daripada dua mangsa.

Beliau berkata, dalam dua kejadian berasingan di Masjid Al-Azahariah dan di Masjid Al-Hidayah di sini, pada kira-kira pukul 3.41 petang dan 10.47 malam, Selasa lalu, mangsa berusia 60 dan 58 tahun mendapati beg tangan mereka hilang selepas menunaikan solat yang melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM3,500.

"Hasil semakan rakaman litar kamera tertutup (CCTV) di kedua-dua tempat kejadian mendapati suspek menggunakan modus operandi yang sama iaitu memakai telekung warna putih masuk ke ruangan jemaah wanita seterusnya mengambil barang berharga milik jemaah yang sedang solat," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Mohd Iqbal memberitahu, polis juga merampas dua buah telefon bimbit dipercayai milik mangsa.

Semakan lanjut katanya, suspek dari Padang Jawa, Klang itu mempunyai empat rekod jenayah dan satu rekod dadah.

Menurutnya, suspek ditahan reman empat hari sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan ke atas  Seksyen 380 Kanun Keseksaan dijalankan.

Sebelum ini tular sebuah video berdurasi 43 saat yang memaparkan seorang lelaki yang memakai telekung memasuki ruang solat wanita di dua buah masjid untuk mencuri barangan milik jemaah yang sedang menunaikan solat.