KULIM: Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai melakukan khianat dengan memecahkan tingkap cermin Masjid Al-Ittihad, Sg Kob, di sini, menggunakan batu nisan, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian disedari seorang ahli kariah masjid ketika melakukan persiapan untuk solat subuh pada jam 5.30 pagi.

“Batu nisan itu ditemui berada di saf hadapan di dalam masjid berkenaan dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kulim.

“Pemeriksaan polis mendapati ada tingkap cermin hadapan telah pecah akibat dibaling batu nisan ke dalam masjid,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) berjaya mengesan suspek seorang lelaki.

Mohd Redzuan berkata, susulan itu polis telah menjalankan siasatan dan mendapati batu nisan berkenaan dicabut dari tanah perkuburan bersebelahan masjid.

“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) berjaya mengesan suspek seorang lelaki semasa kejadian memakai jaket dan berseluar jean warna biru.

“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam lebih kurang 3 pagi hingga 4 pagi,” ujarnya.

Polis sedang menyiasat motif kejadian mengikut Seksyen 295 Kanun Kesiksaan kerana melakukan perbuatan khianat terhadap rumah ibadat dan percaya ia tiada kaitan dengan isu agama.